Umpama sirih pulang ke gagang, begitulah peribahasa yang sinonim dapat diberikan kepada pengacara tersohor yang begitu sinonim dengan keluarga Akademi Fantasia iaitu Aznil Hj. Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil yang kembali diberi peluang melunaskas tanggungjawab beliau sebagai pengacara di atas pentas Akademi Fantasia 9. Selama hampir 9 tahun rancangan realiti ini dipertontonkan kepada masyarakat, ianya telah memberikan segala momen yang indah serta kejayaan yang berjaya dirangkul oleh kebanyakan finalis yang menyertai program realiti pencarian bakat ini.
Dan ternyata, segala desas desus mengenai siapakah yang bakal menduduki kerusi panas sebagai pengacara telah pun terjawab petang semalam apabila pihak Astro telah mengadakan sebuah sidang akhbar khusus bagi memperkenalkan Aznil Hj.Nawawi pengacara Akademi Fantasia musim yang ke-9 ini. Majlis minum petang yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang di Double Tree Hilton turut dihadiri oleh bekas-bekas pelajar yang pernah menuntut di Akademi Fantasia.
Pihak Astro juga sangat mementingkan pemilihan pengacara yang bertanggungjawab mengemudikan rancangan ini di samping barisan tenaga pengajar dan pengetua yang berkaliber kerana dengan adanya insan terpilih seperti mereka ini dapat memberikan kelebihan kepada sesuatu program itu untuk lebih berjaya. Dan pemilihan Aznil dianggap sebagai pilihan yang paling tepat sekali kerana beliau mampu mengawal situasi dan dengan pengalaman yang dimiliki oleh beliau diharapkan dapat membantu mengembalikan zaman kegemilangan Akademi Fantasia seperti dahulu,”ujar beliau lagi.
Tidak lengkap sekiranya tidak menemubual Aznil yang turut merupakan penyampai kesayangan ERA fm di Riuh Pagi ERA. Beliau yang ditemui selepas majlis pengumuman mengenai pemilihannya semalam, meluahkan rasa kesyukuran di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak Astro untuk memilih beliau kembali menerajui program yang sudah hampir sebati dengan dirinya itu. “Sesungguhnya Pak Nil amat merindui rancangan yang memberikan seribu kenangan pahit manis terutamanya komen-komen yang diterima dari pihak media massa dan juga elektronik di mana komen-komen dari mereka inilah yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah program itu,”ujar beliau di awal temubual.
Aznil turut mengakui bahawa beliau menerima lamaran untuk menerajui semula Akademi Fantasia ketika berada di Festival Filem Cannes. Pada mulanya beliau turut memikirkan baik buruk untuk kembali semula ke program yang turut melonjakkan namanya ini. Meskipun runsing dengan penerimaan peminat dan wartawan yang pastinya mengandaikan bahawa beliau seperti menjilat kembali ludahnya semula, beliau tidak gentar apatah lagi kerinduan yang memuncak terhadap Akademi Fantasia turut memberikan semangat kepada beliau untuk kembali ke program ini. Selain itu, beliau juga terikat dengan kontrak yang termaktub sekian lama bersama Astro di mana beliau perlu mengacarakan rancangan-rancangan yang sesuai terbitan produksi Astro sendiri.
Melihatkan kepada pengalaman dan kekuatan Aznil dalam bidang pengacaraan, diharapkan dengan kehadiran beliau dapat mengembalikan memori kegemilangan Akademi Fantasia seperti suatu ketika dahulu. Dan bagi para peminat setia program realiti kegemaran ramai ini, nantikan kemunculan semula Aznil yang akan bersiaran langsung setiap hari Sabtu bermula 2 April 2011 jam 9.00 malam di Astro Ria, saluran 104.
No comments:
Post a Comment